Kakak dibunuh, dua adik ditemui mati| Mayat seorang remaja perempuan yang dipercayai dirogol dan dibunuh ditemui di kawasan bendang di Alor Senibong manakala dua adiknya dilaporkan hilang disahkan mati selepas mayat mereka ditemui di Sungai Pekan Langgar petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, mayat remaja berusia 14 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang.
“Polis belum mendapat petunjuk tentang dua adik mangsa yang dilapor hilang sebelum ini. Operasi mencari mereka sedang dijalankan dengan bantuan unit anjing pengesan,”katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.
Remaja tersebut bersama dua adiknya yang berumur tiga dan 12 tahun dilapor keluar dari rumah mereka di Jalan Datuk Kumbar dengan motosikal kira-kira 7.30 malam untuk ke rumah rakan mangsa di Kampung Gelam yang berdekatan bagi mengambil gajinya yang bekerja membotol bahan pencuci.
Mohd Nashir berkata, setelah ketiga-tiga anaknya tidak pulang dan gagal ditemui setelah puas dicari, ibu mereka Siti Aishah Arifin, 40, membuat laporan polis di di Balai Polis Langgar kira-kira jam 2 pagi.
Sementara itu bapa mangsa Rosdi Rani, 38, berkata, anaknya itu yang hanya bersekolah setakat darjah enam berpendapatan RM15 sehari. Beliau yang bekerja sebagai tukang cuci turut hairan kerana motosikal yang dinaiki anak-anaknya ditemui di Sekolah Kebangsaan Gelam dalam keadaan baik tetapi mayat anaknya ditemui di Alor Senibong yang jauh dari tempat rumah rakannya itu.
“Kami merancang untuk pulang ke Besut, Terengganu selepas dua tahun kami menetap di sini. Saya harap sangat dua lagi anak saya itu dapat ditemui dengan selamat,” katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat sementara jenazahnya dikebumi di tanah perkuburan Jalan Datuk Kumbar, Alor Semela selepas solat Zohor tadi. – Bernama
No comments:
Post a Comment